Home > tazkirah > Ini Hari Kemenangan, bukan Hari Ratapan

Ini Hari Kemenangan, bukan Hari Ratapan

Selamat Hari Raya! Semoga Allah menerima amalan saya dan saudara pembaca sekelian! Hari ini adalah hari kemenangan dan kegembiraan. Minggu lepas saya sudah bicarakan bagaimana sepatutnya hari raya menjadi hari gembira untuk umat Islam bukannya hari dukacita dan kesedihan seperti yang selalu digambarkan oleh drama atau filem Melayu.

Ya, Islam apabila hadir ke dalam sesuatu kaum atau masyarakat, ia tidak menghapuskan budaya atau adat yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, atau mengubah rupa asli agama yang tulus dan suci ini. Islam tidak membuang jubah orang Arab, atau kurta orang India, atau sampin orang Melayu. Namun Islam memberikan garis panduan dan prinsip umum dalam berpakaian.

Hendaklah juga kita fahami bahawa Islam amat sensitif jika ada amalan sesuatu bangsa atau kaum itu mempunyai iktikad tertentu yang membabitkan prinsip-prinsip akidah di dalam Islam. Ini seperti kepercayaan orang melayu dahulu bahawa bala boleh ditolak dengan upacara beras kunyit, atau tepung tawar atau apa sahaja yang mempunyai unsur yang sedemikian rupa. Ini kerana ia menyentuh soal pokok dan prinsip dalam akidah Islam.

Islam tidak membantah untuk orang melayu menggoreng ikan menggunakan kunyit, atau memasak dengan berempah kunyit. Demikian juga untuk mereka membuat tepung talam atau tepung bungkus atau ‘tepung pelita’. Namun, apabila mereka membuat nasi kunyit, atau beras kunyit atau tepung tawar yang disertai dengan sesuatu kepercayaan khusus yang tidak benar, maka ia bercanggah dengan prinsip Islam iaitu persoalan khurafat dan syirik, maka ia dilarang oleh nas-nas Islam.

Sama seperti ‘mandi bunga’, jika ia dilihat di sudut kesan herba kepada kesihatan, maka itu mungkin boleh diterima setelah dibuat kajian pakar. Namun jika disertai iktikad karut seperti boleh mempercepatkan jodoh, maka Islam menolak kebodohan yang seperti itu. Ertinya, budaya, adat atau kebiasaan sesuatu kaum boleh diteruskan, namun hendaklah dipastikan ia tidak mengandungi iktikad yang salah, atau amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.


– Gambar Hiasan

Berbalik kepada persoalan hari raya pun demikian. Pada asasnya, Islam mengajar umatnya beberapa amalan sempena hari raya. Ini termasuklah bertakbir, bersolat ‘Eid (hari raya), berhimpun dan bergembira.

Kata Umm Atiyyah:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat, tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Tujuannya menzahirkan kekuatan dan kegembiraan. Justeru, sekalipun Masjid Nabawi itu adalah masjid yang penuh dengan kelebihan, namun Rasulullah s.a.w bersolat hari raya di musolla iaitu tempat solat khas di tanah lapang, bukan dalam masjid. Ini seperti hadis Abi Sa’id al-Khudri, katanya:

“Rasulullah s.a.w itu pada Hariraya Fitri dan Adha keluar ke musolla. Perkara pertama yang dilakukannya adalah solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari: “Musollah itu tempatnya diketahui di Madinah, di mana antaranya dan masjid sejauh seribu hasta”. Dengan bersolat di tempat lapang yang disertai oleh setiap lapisan kaum muslimin maka menambahkan kemeriahan, kekuatan jiwa dan semangat, serta kegembiraan dalam kaum muslimin. Amalan ini diamalkan oleh sebahagian umat Islam sejak zaman Nabi s.a.w sehingga ke hari ini melainkan jika berlaku hujan atau kesukaran mendapatkan tempat lapang.


– Gambar Hiasan

Di Perlis, semasa saya menjadi mufti, saya menggalakkan para imam menganjurkan solat hariraya di tempat lapang. Maka zahir kekuatan alunan takbir yang menembusi ufuk dan di tempat yang terbuka itulah alam menyaksikan perpaduan, kekuatan dan kemesraan kaum muslimin.

Masyarakat Melayu

Maka mesej Islam pada hariraya adalah kemenangan, kekuatan umat dan kegembiraan. Jangan ditukar mesej ini dengan yang sebaliknya. Untuk mencapai kegembiraan setiap kaum kadang-kala ada cara yang tersendiri. Ia boleh diterima selagi tujuannya tidak tersasar. Mereka mungkin memakai pakaian khas yang cantik menurut tradisi kaum masing-masing; jubah untuk orang Arab, kurta untuk orang India, berbaju melayu untuk orang Melayu dan seterusnya.

Demikian juga juadah makanan; Nabi s.a.w tidak pernah menyuruh atau memakan ketupat, rendang dan dodol pada hari raya. Itu adalah makanan orang melayu. Tidak mengapalah, ia tidak menyanggahi tujuan hari raya. Demikian ucapan selamat hari raya, yang diriwayatkan daripada para sahabat mereka sekadar mengucapkan TaqabbalaLlah minna wa minka (semoga Allah menerima amalan kami dan kamu) (lihat: al-Albani, Tamam al-Minnah 354-356).

Orang melayu menambah dengan selamat hari raya. Ia mungkin sebahagian daripada aktiviti menceriakan hariraya. Cuma penambahan ‘maaf zahir batin’ yang membawa kepada hari raya menjadi hari khas untuk bermaaf-maafan, mungkin ada sudut negatif dan positifnya. Jika ia membawa masyarakat kita melengah-lengahkan permohonan maaf sesama muslim kerana menunggu hariraya, maka ini sesuatu yang negatif.


– Gambar Hiasan

Nas-nas Islam tidak pernah menyebut hari raya hari bermaafan, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah menyegerakan pemohonan maaf tanpa menunggu hariraya atau hari tertentu. Demikian juga jika maaf-maafan pada hari raya itu membawa suasana ‘airmata dan sedih’ maka itu di luar dari tujuan hari raya.

Satu lagi perkara yang disangkakan oleh sesetengah masyarakat sebagai amalan hariraya iaitu bertafakur atau menziarahi kubur dengan taburan bunga dan siraman air. Sesetengah orang suasana harirayanya bertukar menjadi suasana suram dan tidak ceria selepas solat kerana pergi bersedih dan mengenangkan orang yang mati pada hariraya.

Jika sekadar lalu di kawasan kubur sambil berdoa tidaklah mengapa. Tetapi melakukan ziarah khas pada hari raya bersama dengan perasaan sedih dan pilu bukan amalan Nabi s.a.w dan menyanggahi tujuan hari raya dalam Islam. Di samping itu, amalan menabur bunga dan menyiram air bukanlah dikenali di zaman salafussoleh sebagai amalan yang dipraktikkan.


– Gambar Hiasan

Adapun perbuatan Nabi s.a.w meletakkan pelepah tamar atas kubur adalah keistimewaan khas baginda, sebab itu tiada para sahabah yang meniru perkara yang sama selepas itu. Manusia pada umumnya mendapat kebahagian di akhirat dengan amalan baiknya dan juga doa ikhlas insan lain yang mustajab. Tiada proses belian atau upahan pahala dalam ajaran Islam.

Apapun, sempena hariraya kita hendaklah zahirkan kebesaran Allah dan kekuatan umat Islam sebagai umat yang memimpin alam dengan kebaikan dan hidayah. Gema takbir bukan untuk mengundang kesedihan tanpa sebab. Sebaliknya agar jiwa dipenuhi dengan kebesaran Allah, kecintaan kepada perpaduan dan kebahagiaan umat ini. Ia memberikan semangat kepada kita untuk terus sebagai umat yang berdaulat dan mampu melaungkan kebesaran kerajaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Airmata jika pun ada pada hariraya adalah airmata mengenang kebesaran Allah dan perasaan cinta yang mendalam kepada umat ini. Khutbah hari raya adalah khutbah yang penuh semangat dan makna, bukan khutbah yang ‘menidurkan’ makmum pada pagi hari dan penuh kemandulan serta tidak membangunkan jiwa jihad dan pengorbanan. Imam atau khatib hendaklah sedar akan hakikat ini. Selamat Hari Raya! Selamat membina kekuatan umat dan kecintaan kepada setiap saudara muslim kita. Allahu Akbar, Allahu Akbaru walillahil hamd.

Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin (http://drmaza.com/home/?p=722)

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: