Home > Bicara Siasah, Kenyataan > Antara Dua Muktamar

Antara Dua Muktamar

Bagi sesiapa yang belum mengenal Maxime Rodinson, beliau merupakan sarjana Perancis yang telah menulis buku ‘Islam and Capitalism’. Tesis utama buku tersebut ialah penolakan terhadap sangkaan Max Weber (bapa sosiologi barat) bahawa agama-agama lain (termasuk Islam) tidak serasi dan tidak membawa nilai Kapitalisme yang membawa kepada kemajuan ekonomi barat. Di dalam magnum opus beliau ‘The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism’, Weber telah membuktikan bahawa Protestant versi Calvanism yang beliau anuti merupakan tanah yang subur untuk ideologi Kapitalisme. Maka, Rodinson pula telah mengemukakan teorinya pula yang mengatakan bahawa Islam juga amat serasi dan menyediakan tanah yang subur juga untuk ideologi kapitalisme. Sama ada al-Quran dan Sunnah, kedua-duanya tidak menentang unsur-unsur perdagangan, pencarian keuntungan (yang tidak dihadkan), pemilikan individu, dan lain-lain lagi, tetapi dengan versinya yang tersendiri dengan mengharamkan beberapa elemen yang akan merosakkan perdagangan itu seperti riba, gharar, menipu, monopoli dan lain-lain.

Jomo K.S. telah menyangkal hujah kedua-dua Weber dan Rodinson di dalam artikelnya, ‘Islam and Capitalim Development: A Critique of Rodinson and Weber’. Beliau mengemukakan sisi terlindung yang tidak disentuh oleh Rodinson terutamanya mengenai ekonomi Islam. Beliau telah menegaskan bahawa konsep ‘keadilan sosial’ yang menjadi tema utama falsafah ekonomi Islam tidak selari dengan sikap individualisme terlampau ideologi Kapitalisme. Bagi sesiapa yang biasa dengan wacana falsafah politik ekonomi, sentimen ‘sosialisme’ tulisan Jomo akan segera dihidu. Jomo bukanlah yang pertama,malah Abdul Qadir ‘Audah, Ali Shari’ati dan lain-lain lagi telah mendahului beliau di dalam usaha pengharmonian di antara teori ekonomi sosialisme dengan falsafah eknomi Islam. Agak menarik, mungkin analisis Umer Chapra mengenai Islamic Economy boleh memeriahkan lagi wacana berkenaan. Kesimpulannya, falsafah ekonomi Islam itu tidak bersifat statik. Sebagai pentafsiran kepada wahyu yang terbuka kepada ijtihad dan akal manusia, falsafah tersebut boleh dicorakkan menurut rasional dan juga kesesuaian setempat selagi ianya tidak merongkai apa yang baku dan fundamental.

Mukadimah ini menjadi pembuka kata mengenai pandangan seorang rakyat Malaysia yang ingin melihat Malaysia yang lebih harmoni untuk sekalian penduduknya (termasuk alam sekitar dan haiwan).

Pada tahun ini, konvensyen parti-parti politik di UK yang telah berlangsung pada awal tahun telah menjadikan perbincangan mengenai krisis ekonomi (credit crunch) sebagai tema utama. Setiap parti mengemukakan saranan mereka untuk memulihkan ekonomi jika mereka menguasai tapuk pemerintahan.

Wacana yang mereka gunakan adalah wacana politik ekonomi yang berbunyi positif dan penuh keyakinan. Ketiga-tiga parti utama di UK (Buruh, Konservatif dan Liberal Demokrat @ Lib Dem) telah mengemukakan blue print mereka sebagai dasar untuk menjadi parti pemerintah. Agak menarik,walaupun Lib Dem merupakan parti yang mungkin tiada peluang untuk menjadi parti pemerintah pun, namun retorik dan juga gagasan yang dibawa oleh Nick Clegg (presiden parti) membuktikan bahawa mereka bersedia untuk memerintah. Antara yang menarik ialah polisi luar mereka yang bersikap mesra Palestin dan agak agresif berhubung dengan Israel. Walau bagaimanapun, parti yang sering mendapat jolokan ‘parti gay’ (kerana komitmen mereka memperjuangkan hak golongan minoriti, terutamanya golongan gay) ini agak mustahil untuk mencapai puncak kekuasaan mahupun menjadi pembangkang utama dengan kabinet bayangan yang tersendiri.

Hal ini telah membuka selera saya untuk mengikuti dengan tekun perbincangan di dalam perhimpunan Agung UMNO dan juga Muktamar PAS. Sebagai rakyat Malaysia yang realis, saya terpaksa akur bahawa kuasa politik di Malaysia masih lagi berteraskan sikap kepuakan dan bangsa. Politik identiti masih kuat berakar di dalam budaya politik rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, tidak dapat tidak tampuk kekuasaan mestilah berada di dalam tangan parti bangsa yang majoriti, iaitu parti orang Melayu. Maka, samada UMNO ataupun PAS, merekalah merupakan harapan survival politik orang Melayu. Hal ini merupakan satu norma yang tidak dapat disangkal, cuma apa yang perlu diberikan perhatian, apakah budaya pemikiran seperti ini akan mengabaikan kepentingan dan hak kaum minoriti yang majoriti ataupun tidak.

Seperti kebiasaannya, dalam Perhimpunan Agung UMNO, politik wang merupakan sinonimnya. Walaupun media tidak melaporkan, namun testemonial para perwakilan yang balik dari perhimpunan tersebut dengan wang yang lumayan telah cukup untuk manusia berakal untuk tidak menafikannya. Politik wang dan politik patronage merupakan rencah utama politik UMNO. Maka dengan rencah itu jugalah UMNO menjadi rosak dan UMNO telah ditolak oleh kebanyakan rakyat Malaysia pada PRU ke-12 yang lalu, terutamanya di kalangan bukan Melayu. Bukan sekadar UMNO, malah parti-parti komponen BN yang lain juga telah menerima tempias penolakan rakyat terhadap UMNO.

Malangnya, para pemimpin UMNO tidak juga sedarkan diri. Di kala UMNO sedang lesu dan mengharapkan ‘wow factor’ (bak kata Timbalan Perdana menteri Malaysia dan juga Timbalan Presiden UMNO), para pemimpin UMNO masih lagi tidak serik.

Walau bagaimanapun, apa yang ditunggu ialah kualiti ucapan dan pebincangan di dalam perhimpunan tersebut. Amat malang, kualiti perbincangan dan usul yang dibawa oleh para perwakilan tidak mencerminkan bahawa UMNO telah melonjak untuk memperbaiki dirinya. Walaupun tiada keris yang dijulang kali ini, namun tiada usul dan perbahasan yang menuntut perubahan drastik berhubung keadaan terkini negara. Namun, sekurang-kurangnya nada perbincangan perwakilan tetap yakin bahawa UMNO akan terus berada di tampuk pemerintahan dan akan terus berkuasa.

Malangnya tiada sesuatu yang baru, apatah lagi sesuatu yang menunjukkan kematangan dan kemajuan di dalam pemikiran majoriti para perwakilan. Mungkin masing-masing sibuk menantikan pemimpin yang telah mereka undi sebagai balasan duit yang telah diberikan untuk menjadi MT ataupun apa-apa jawatan yang lain.

Pada bulan Jun pula, muktamar PAS telah berlangsung. PAS merupakan lawan utama UMNO. Walaupun PKR nampak mempunyai kelebihan kerusi di parlimen (PKR 31 kerusi, PAS 23 kerusi), namun hakikat undian yang diberikan kepada PAS dan juga jumlah kerusi DUN yang dikuasai membuktikan bahawa PAS masih merupakan parti pembangkang utama di Malaysia. Maka sewajarnya PAS bersedia untuk mengambil tampuk pemerintahan dari UMNO. Hal ini telah dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS yang telah memenangi kerusi tersebut buat kali ketiga berturut-turut, Ust Nasharudin Mat Isa. Selain berusaha untuk mengukuhkan PR, PAS juga menurut beliau bersedia untuk menggantikan UMNO.

Mungkin keterbatasan ruang, bagi penonton politik di luar negara, ruang media alternatif sahaja yang dapat dijadikan ruang untuk mengikuti perkembangan muktamar. TV PAS, Harakahdaily dan Siasah online mungkin menjadi sumber terpecaya. Media masa arus perdana mempunyai agenda tersendiri, begitu juga halnya dengan media-media alternatif lain yang tidak dimiliki oleh PAS. Mereka mempunyai pentafsiran yang lain berbanding tuan punya badan sendiri. Amat kecewa bagi pengamat politik yang amatur seperti saya dengan kualiti perbincangan di dalam muktamar. Walaupun timbalan presiden membuka cita-cita yang besar,namun kualiti dan juga atmosfera perbahasan dan usul lebih merupakan isu dalaman parti dan juga isu-isu reaksi. Tiada satu blue-print yang jitu dalam perbahasan mahupun dalam ucapan presiden yang menunjukkan PAS bersedia memerintah.

Di kala Tuan Guru Presiden menyalahkan ideologi Kapitalisme Liberal yang semakni hancur dan membawa keruntuhan ekonomi di barat, tidak pula dibincangkan alternatifnya di bumi Malaysia yang ingin dibawa oleh PAS. Sistem perbankan Islam yang bertapakkan semangat kapitalisme itu sendiri pun turut didokong oleh PAS. Begitu juga dengan perbahasan pemuda mengenai Liberalisme ekonomi, sanggahan mereka hanyalah mengenai kemungkinan pemodal Yahudi akan bertapak di Malaysia, dan kemudiannya menegaskan bahawa rakyat masih memerlukan kerajaan di dalam urusan ekonomi mereka. Bagi para pengkaji politik eknomi, ternyata saranan itu berbau sosialisme, dan juga mengukuhkan lagi polisi ekonomi BN yang membuka ruang kepada patronage economy yang menghasilkan kronisme dan nepotisme selanjutnya korupsi.

Mungkin saya terlepas pandang, namun seperkara yang penting ialah perbincangan berhubung kepentingan bukan Melayu/Islam yang telah memberikan undi kepada PAS lewat PRU-12 yang lalu. Selain dari perbincangan mengenai Kelab Penyokong PAS, tiada perbincangan khusus mengenai kedudukan sosio-ekonomi bukan Melayu/Islam jika PAS mengambil alih kekuasaan dari UMNO. PAS tidak boleh membiarkannya hanya kepada PR untuk membuat keputusan, PAS mestilah mempunyai ideologi dan juga gagasan mereka sendiri yang kemudiannya dilobikan di dalam PR. Mungkin saranan penubuhan suruhanjaya mengkaji rampasan kuasa BN di Perak boleh dipuji, namun sekali lagi, ianya lebih berbentuk reaksi. Cadangan mengharamkan SIS merupakan satu yang besar dan serius. Walaupun impaknya negatif dan mengundang pelbagai polemik, namun sekurang-kurangnya itu membuktikan komitmen PAS terhadap ideologi yang didokonginya. Saya secara peribadi tidak menyokongnya, tetapi jika itu yang dimahukan oleh majoriti ahli PAS, sekurang-kurangnya ia perlu dihormati. Usul yang besar dan bersikap ‘genuine’ seperti inilah yang dimahukan. Bukanlah saya bermaksud usul yang ‘mengharamkan’, tetapi usul yang membawa ‘blue-print’ PAS kepada rakyat mengenai apa yang ingin mereka bawa jika mendapat tampuk kekuasaan.

Isu kerajaan perpaduan sepatutnya dijadikan usul dan diperbahaskan. Biar apapun yang ingin diperkatakan oleh orang lain, namun PAS perlu bersikap matang di dalam membawa sesuatu ide. Janganlah isu tersebut membuatkan mereka yang mendokongnya bersikap seperti watak-watak ‘spitting image’. Jika benar ia relevan, bawakan usul dan diperbincangkan dan kemudian diputuskan samda ianya relevan ataupun tidak. Jika ianya tidak relevan dan ditolak oleh perwakilan semua, maka ianya harus ‘ditutup’ dan dibuang tanpa perlu dibincangkan lagi. Sekiranya ianya diterima oleh para perwakilan, maka di waktu itu PAS sebagai sebuah parti yang bersedia untuk memerintah perlu menghormati pandangan majoriti ahli. Menyenyapkan isu tersebut tanpa diperbincangkan akan menimbulkan tanda tanya dan gosip yang berterusan. Pihak lawan pula akan terus memanipulasi isu berkenaan untuk kepentingan mereka.

Walau apapun yang telah berlangsung, tahniah diucapkan kepada para pemimpin PAS dan perwakilan yang telah menjayakan uktamar ke-55 PAS. Mungkin mengharapkan sesuatu yang besar dari UMNO dan PAS adalah keterlaluan. Masanya akan sampai juga, namun bila?

Maszlee Malik
http://maszleemalik.blogspot.com/
Durham, UK.

* Menantikan usul pembentukan kabinet bayangan PR dengan PAS mengemukakan menteri-menteri bayangan mereka dengan polisi-polisi tersendiri menggambarkan aspirasi PAS dan harapan rakyat….ini juga tidak muncul…

* Maka, tiada sesuatu yang baru yang dikemukakan juga. Apakah mereka benar-benar telah bersedia untuk memerintah dan menggantikan UMNO?

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: