Home > Bicara Siasah > PR perlu diinstitusikan

PR perlu diinstitusikan

Gambar hiasan

Semenjak tsunami politik yang melanda tanah air lewat PRU ke-12 yang lepas, suasana politik Malaysia tidak pernah reda. Kejutan atau tamparan kepada hegemoni rejim BN lewat PRU tersebut menjadikan pihak elitis koalisi tersebut tidak senang duduk. Kedudukan mereka di ‘centre’ sedikit demi sedikit telah cuba dihakis oleh golongan ‘peripheral,’ terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.

Kemelut politik di Perak dewasa ini tidak dapat ibarat imblical cord yang tidak terputus dari tsunami tersebut. Rakyat jelata semakin bosan dan muak dengan corak politik BN yang agak kurang bermoral di dalam memastikan hegemoni mereka terus kekal dan kekuatan mereka tidak tercabar. Dinamisme realpolitik pihak BN semakin menjadikan rakyat secara umumnya semakin jemu terhadap mereka dan bukan semakin percaya. Walaupun berlaku perubahan pada tampuk pemerintahan negara dan juga pada parti tunggak BN, iaitu UMNO, masih tidak dapat mengubah persepsi umum rakyat terhadap BN. Malah krisis di Perak, kemelut dalaman UMNO di Terengganu, perpecahan UMNO di Perlis dan juga peperangan dingin di dalam barisan kepimpinan UMNO di antara kem ‘lama’ dengan kem ‘baru’ semakin memburukkan keadaan. Rakyat menjadi semakin meluat dan muak dengan UMNO, malah dengan parti-parti komponen BN lain yang disifatkan oleh kebanyakan rakyat sebagai telah di’UMNO’kan.

Apakah harapan rakyat?

Pakatan Rakyat (atau yang dilabel sebagai Pakatan Pembangkang oleh media arus perdana)?

Tidak dinafikan PRU ke-12 membuktikan bahawa itu sememangnya harapan rakyat. Malangnya kredebiliti pemimpin-pemimpin PR semakin tercalar akibat isu di loncat parti di Perak dan juga isu integriti sesetengah pemimpin PR di Pulau Pinang. Tidak perlu berselindung, imej PKR yang merupakan peneraju PR melalui ikon mereka, DS Anwar Ibrahim telah menjadi semakin buruk pada tanggapan kebanyakan rakyat. Persepsi umum melihat PKR merupakan tempat bersarangnya golongan UMNO yang pindah kem, tetapi masih membawa tradisi dan paradigma UMNO di dalam kehidupan dan budaya politik mereka.

Lebih malang lagi, PR sehingga kini masih gagal menempatkan diri mereka sebagai pembangkang yang kuat di parlimen. Sehingga detik ini, tiada Shadow Cabinet yang kukuh seperti yang pernah diwujudkan selepas PRU ke-10 yang lalu. PR masih lagi dilihat sebagai bernafsu untuk mengambil alih kerajaan melalui perpindahan ahli parlimen-ahli parlimen BN ke kem mereka. Malangnya, apakah PR benar-benar bersedia?

Sehingga kini juga, PR belum lagi menjadi sebuah institusi yang rasmi dengan perlembagaan dan juga visi dan misi yang jelas. Malah jika dilihat, negeri-negeri yang dikuasai oleh PR mempunyai hala tuju yang berlainan tanpa keselarasan dari segi matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai. Kerajaan PAS di Kedah dan Kelantan tidak seperti kerajaan DAP di Pulau Pinang; manakala kerajaan DAP di PP pula tidak seperti kerajaan PKR di Selangor. Sekurang-kurangnya, di peringkat negeri-negeri, biarlah terdapat keseragaman agar rakyat dapat melihat model ‘Malaysia Baru’ yang ingin dibawa oleh PR di peringkat pusat nanti.

Seburuk-buruk BN (yang dipenuhi dengan korupsi dan pelbagai krisis serta isu), mereka sekurang-kurangnya mempunyai satu aspirasi, satu keselarasan, satu central command, dan juga persefahaman. Pendek kata, mereka berjaya menjadi satu institusi yang nampak jelas siapa pimpinan utama, dan juga di mana tugas mereka. Hal ini tidak jelas di dalam PR.

Di pihak PAS pula, kewujudan kem pro-muzakarah dengan UMNO seperti yang dimainkan oleh media arus perdana semakin mengecewakan rakyat. Dominasi kumpulan tersebut (seperti yang diceritakan oleh media pro-BN) di dalam beberapa jawatan strategik PAS (pemuda dan dewan ulama) juga semakin menakutkan ramai pemerhati. Walau bagaimanapun, melihat kepada ucapan Ustaz Nasharudin Mat Isa (yang sering dijuluk sebagai ‘pro-Muzakarah’) lewat muktamar pemuda PAS, mungkin ramai yang menarik nafas lega. Beliau menegaskan bahawa PAS akan kekal menjadi tulang belakang PR (inilah realitinya, memandangkan kebanyakan jentera pilihanraya PR adalah terdiri dari para aktivis PAS yang tidak kenal lelah dan menganggap usaha mereka sebagai jihad). Jika benar seperti yang dinyatakan, maka PAS perlu bertindak menyelamatkan PR menjelang PRU ke-13 nanti. Tiada siapa dapat menafikan bahawa ‘saham’ tertinggi para pimpinan PR di kala ini adalah pada para pemimpin PAS seperti DS TG Nik Aziz Nik Mat, DS Nizar Jamaludin dan juga DS Husam Musa, hatta di kalangan rakyat yang bukan beragama Islam.

Hal ini mengimbaukan saya kepada keadaan politik di UK yang semakin bercelaru juga. Krisis tuntutan elaun berlebihan para pemimpin parti-parti utama di UK (spesifiknya parti Labour @ Buruh dan juga konservatif) menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada para ahli politik. Sambutan dingin terhadap pilihanraya EU yang berlangsung hari ini (4 Jun 2009) mencerminkan sikap tersebut. Di sebalik krisis tersebut, terdapat beberapa pihak yang mendapat keuntungan, iaitu parti-parti kecil yang berunsurkan niche. Green Party sebagai contohnya, mendapat mata yang tinggi akibat hilangnya kepercayaan rakyat terhadap parti-parti utama. Lebih menakutkan lagi, parti perkauman BNP (British National Party) juga semakin mendapat tempat di hati rakyat UK, terutamanya dari golongan bawahan dan segelintir dari golongan pertengahan.

Apakah di dalam kekalutan politik di Malaysia dan juga krisis kepercayaan rakyat terhadap BN dan PR akan mengundang reaksi yang sama?

Apakah perlunya wujud parti-parti baru yang boleh memberikan nafas baru kepada suasana politik Malaysia?

Apakah perlunya wujud parti-parti berdasarkan niche di Malaysia seperti yang banyak wujud ni negara-negara maju untuk membawa aspirasi ‘creative minority‘ (minoriti kreatif) di kalangan rakyat?

Apakah tahap kesedaran politik rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi suasana baru itu?

Bukankah Parti Sosialis Malaysia telah berjaya didaftarkan?

Bukankah pimpinan Hindraf juga hendak menubuhkan parti baru?

Mungkin sudah sampai waktunya para aktivis seni, aktivis buruh, aktivis environmen, aktivis sosial dan lain-lain kumpulan berteraskan sasaran (interest group) untuk menubuhkan parti mereka?

Bagaimana pula dengan Parti Akauntabiliti Rakyat (PAR) yang menjadi watchdog kepada parti-parti yang memerintah samda di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri, samada kepada kerajaan BN mahupun kepada kerajaan PR?

Maszlee Malik
http://maszleemalik.blogspot.com/

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: