Home > Bicara Siasah, Hebahan, Kenyataan, Siri Membela Kerajaan PR > Adun Chenderiang tuduh Speaker Perak tak tahu undang-undang. Baca ulasan pakar Perlembagaan Prof Dr Aziz Bari sekarang!

Adun Chenderiang tuduh Speaker Perak tak tahu undang-undang. Baca ulasan pakar Perlembagaan Prof Dr Aziz Bari sekarang!

ADUN Chenderiang, Dr Mah Hang Soon menyifatkan tindakan Sivakumar itu telah melanggar titah Sultan Perak dan menuduh Sivakumar tidak tahu undang-undang dan membuat keputusan tanpa rujuk kepada Sultan.”Mana boleh adakan sidang DUN tanpa dapat perkenan Sultan?” katanya ketika memberi reaksi terkejut terhadap tindakan Speaker untuk memanggil sidang Dun 3 Mac ini.

“Dia (Sivakumar) ini macam tidak tahu undang-undang dan membuat keputusan tanpa rujuk kepada Sultan. Mana boleh adakan sidang DUN tanpa dapat perkenan Sultan? Oleh itu, keputusan yang Speaker buat pada hari ini adalah tidak sah. Kita kena bertindak ikut undang-undang dan kena mengenepikan sentimen politik dalam hal perlembagaan,” ujarnya.

Bagi menjawab tuduhan tidak berasas Dr Mah itu, saya menurunkan kembali ulasan pakar Perlembagaan UIAM, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang menjadi tajuk utama muka depan Harakah Bil 1418 yang lalu sebagai ingatan bagi memahamkan semua Adun BN dan Pakatan tentang kuasa memanggil sidang Dun.

Terdapat isu menarik berkenaan Dun Perak dan kuasa Speaker. Saya berbincang dengan Profesor Dr Abdul Aziz Bari tentang perkara ini. Masih terlalu luas kuasa speaker, apabila ada pihak yang menghina Dewan tidak digunakan. Hatta, kenyataan PM, Abdulah Ahmad Badawi yang memerintahkan Dr. Zamry Abdul Kadir agar tidak menghiraukan keputusan penggantungan oleh Speaker dewan, sebenarnya boleh diambil tindakan dan dijatuhkan hukuman. Namun saya bertanya, apakah yang perlu dilakukan sekarang di Perak. Begini jawapan Dr Aziz Bari dan saya melaporkannya:

DUN Perak perlu bersidang dengan segera bagi menyelesaikan kekaburan yang ada sekarang. Demikian pandangan Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas mengenai permohonan Speaker S. Sivakumar kepada Sultan Perak untuk mengadakan Sidang Khas Dewan 23 Februari lalu.Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

“Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong”, jelas beliau ketika dihubungi.

Profesor undang-undang itu berkata, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.

“Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu,” tegas beliau lagi. Pakar perlembagaan itu berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.

“Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi,” tambahnya lagi.

Aziz berkata sidang DUN itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka. Ditanya mengenai pendapat yang mengatakan bahawa sokongan majoriti itu boleh ditunjukkan di luar dewan, Aziz berkata “pendapat itu sebenarnya pandangan yang agak lemah dan hanya boleh diterima sekiranya ada pihak, contohnya kerajaan yang ada, yang dalam konteks Perak, Dato Seri Nizar, enggan atau menghalang sidang DUN”.

Beliau berkata pendapat itu berdasarkan kes Adegbenro yang diputuskan pada 1963. Katanya kes yang lebih baik ialah kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1966 yang menghukumkan bahawa ia perlu dibuat di dalam dewan.

Aziz menambah peruntukan yang sama juga ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yakni Perkara 43(2)(a) dan 43(4). Sebab itu, tegasnya, adalah salah apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyekat permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Aziz menjelaskan, “Memang speaker mempunyai kuasa mutlak tetapi ini berhubung dengan keahlian, perjalanan dewan dan seumpamanya. Apa yang berlaku di Perak ialah Speaker Sivakumar mahu proses menunjukkan sokongan itu berlaku sedangkan Pandikar Amin bertindak sebaliknya. Ini menyebabkan peruntukkan perlembagaan, khususnya Perkara 43(2)(a) dan 43(4) tersekat. Itu sebab saya pernah mengatakan bahawa speaker tidak harus menyelamatkan kerajaan daripada diuji sokongannya oleh dewan. Apa yang berlaku di Perak betul kerana speaker mahu kerajaan yang ada membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan.

Tiga hari lalu Pandikar Amin dipetik di dalam media sebagai berkata speaker dewan harus adil dan tidak memihak.

Aziz menambah di sisi perlembagaan, Anwar sebenarnya tidak perlu menulis surat kepada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 September 2008 kerana Abdullah adalah ketua kerajaan dan bukan ketua dewan.

“Mungkin apa yang Anwar lakukan itu sekadar strategi politik, tetapi ia bukan satu syarat. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai budaya politik yang ganjil dan tidak mesra perlembagaan dan strategi seperti itu perlu,” ujar Aziz. Abdullah bagaimanapun menolak mentah-mentah sidang tersebut. Pandikar Amin juga enggan memberi laluan.

Aziz berpendapat di dalam keadaan sedemikian, Yang di-Pertuan Agong bertanggung jawab menitahkan sidang kerana isu sokongan majoriti amat penting dan ia adalah nyawa bagi sesebuah kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

“Pada saya ini selaras dengan kehendak peruntukkan yang berkenaan, khususnya Perkara 43(2)(a), 43(4) dan 55(1) di baca bersama,” tambahnya. Keadaan yang sama wujud di Perak sekarang, kata Aziz.

Beliau berkata “jika sidang DUN tidak dipanggil sukar bagi kerajaan hendak menjalankan pentadbiran; contohnya mendapatkan kelulusan perbelanjaan dan pelbagai urusan rutin yang memerlukan dana yang mesti diluluskan oleh DUN dan sebuah kerajaan yang sah, yakni yang mempunyai dokongan majoriti di dalam dewan.”

Ditanya mengenai perlantikan Dato Dr Zambry Abd. Kadir oleh sultan beliau berkata, “itu tidak mengapa; isunya di sini ialah perlantikan itu perlu dibuktikan benar-benar sah oleh DUN kerana dewan yang mempunyai kata putus sama ada penilaian Sultan itu tentang sokongan majoriti kepada Zambry itu betul atau sebaliknya.”

Aziz berkata sokongan majoriti itu terpakai kepada Zambry dan Mohamad Nizar. Beliau menjelaskan soal sokongan majoriti itu boleh dibangkitkan di dalam dewan bila-bila masa sebagaimana yang biasa dilakukan di United Kingdom umpamanya.


Nizar vs. Zambry

“Katakan Zambry kalah kali ini, beliau boleh selepas ini membawa usul undi tidak percaya terhadap Mohamad Nizar pula kalau beliau berasa sokongan ahli dewan terhadap beliau bertambah. Begitu juga dengan ahli dewan yang lain yang berasa mereka mempunyai sokongan yang cukup. Proses ini dizinkan malah dikehendaki oleh perlembagaan,” tegasnya.

Catatan oleh: TarmiziMohdJam, Wartawan Harakah

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: