Home > Ilmiah, Sebaran Am > Puasa itu proses, terhasilkah Taqwa kita?

Puasa itu proses, terhasilkah Taqwa kita?

“Kalau puasa kita hanya kerana untuk berdiet, maka itulah hasilnya yang akan kita dapat di penghujung nanti. Tidak ada yang lain”, kata Ustaz Hasrizal memulakan bicara tazkirahnya semalam.

“Begitu juga kalau puasa kita semata-mata kita inginkan keuntungan hasil berniaga di dalam bulan puasa ini, itulah yang akan kita kecapi di penghujung Ramadhan kelak”, sambung beliau lagi.

Peluang berniaga pada bulan Ramadan akan dapat membantu masyarakat meningkatkan pendapatan mereka - PM

Justeru, untuk apa sebenarnya kita berpuasa? Allah telah menetapkan jawapannya dalam Al-Quran yang menegaskan bahawa puasa adalah proses, kepada nilai iman sebagai asas ibadah agar kemudiannya dapat melahirkan taqwa.

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketaqwaan” (Al-Baqarah 2: 183)

“Namun, penggunaan perkataan لعلّ membawa konotasi yang takwa itu tak semestinya dapat dicapai oleh semua yang berpuasa!”, tegas Ustaz bernada ingatan kepada para jemaah surau yang mendengar.

TAQWA

Apa pengertian takwa? Definisi yang biasa kita dengar dan amalkan ialah takutkan Allah. Umumnya, taqwa ditakrifkan ulama sebagai darjat kesempurnaan komitmen dalam Syari’at Allah.

“Tepat, tetapi tidak jelas…apa yang sebenarnya kita maksudkan dengan taqwa?”, kata Ustaz sambil menerangkan bahawa kejelasan itu penting agar aspek teknikal daripada taqwa ini dapat dilihat dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita.

Mari kita lihat takrifan yang dibawakan melalui perbualan dua sahabat Nabi iaitu Ubay bin Ka’ab dan Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhuma tentang persoalan taqwa. Umar bertanya Ubay tentang pengertian Taqwa dan Ubay menjawab dengan menanyakan Umar kembali, “Pernah kamu melalui jalan yang berduri?” Umar menjawab, “Ya, pernah”.

Berhati-hati apabila bertemu duri, kelak tertusuk terluka diri

Tanya Ubay lagi, “Apa yang kamu lakukan?

Umar berkata, “Aku akan mengangkat sedikit pakaianku dan akan melangkah dengan berhati-hati”.

Lalu kata Ubay bin Ka’ab, “Itulah yang dimaksudkan dengan Taqwa!”

Itulah kandungan dan tuntutan Taqwa yang dikehendaki Allah agar kita memperolehnya melalui puasa di dalam bulan Ramadhan ini. Sifat berhati-hati dalam kehidupan kita terhadap perkara yang boleh dan perkara yang tidak boleh.

Taqwa terhasil melalui dua syarat. Yang pertama, kesedaran yang penuh. Yang kedua ialah keupayaan mengawal diri. A good self control over yourself.

“Hanya mereka yang sedar yang mampu mengawal diri ketika berjalan di jalan yang penuh dengan duri, sudah tentu orang yang mabuk atau mengantuk tidak mampu melakukannya”, kata Ustaz menjelaskan maksud perkataannya.

KAWAL DIRI

Keupayaan mengawal diri juga dididik oleh Islam melalui puasa iaitu melalui sifat Sabar.

Sabar dalam ertikata mengawal diri dan berupaya memilih tindakan yang tepat untuk dilakukan. Tidak sekali-sekali bermaksud menjadi mangsa keadaan.

Sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi Wasallam dalam hadithnya yang bermaksud,

“Bukanlah gagah itu, pada orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang gagah itu adalah orang yang menguasai dirinya ketika marah!”

TERHASILKAH TAQWA?

Seorang insan pulang dalam keadaan penat, letih, tertekan dan sebagainya. Kemudiannya, dia mandi dan tanpa sengaja, air termasuk ke dalam mulutnya. Mahu ditelan atau diluah kembali?

“Bukan aku yang masukkan, ia termasuk sendiri. Tentulah aku boleh telan”, bisik hatinya sendiri.

“Oh, tidak..tidak, aku sedang berpuasa..walaupun orang tak nampak, tetapi aku sedar Allah nampak”, monolognya sendirian dalam hati.

Hanya orang yang sedar dan mampu mengawal diri akan mengambil keputusan untuk tidak membatalkan puasanya dengan menelan air tersebut biarpun dia keseorangan tanpa manusia yang melihat.

Inilah Taqwa yang terdidik secara tidak langsung semasa kita sedang berpuasa.

Persoalannya, terhasilkah Taqwa selepas Ramadhan, yang telah dididik tadi, apabila kita ‘disuap kopi ‘ dengan sekeping cek yang telah ditulis dengan nama kita atas alasan ia rezeki kita?

Terhasilkah Taqwa apabila kertas jawapan seorang pelajar terjulur keluar lalu kita ternampak jawapannya, dan memberi peluang untuk kita meniru sewaktu peperiksaan berlangsung?

Seandainya Taqwa benar-benar terproses melalui tarbiyyah puasa Ramadhan, jawapan kepada situasi di atas amat jelas sekali.

OUTPUT PUASA IALAH TAQWA

“Allah menghendaki kita melalui bulan Ramadhan ini untuk menghasilkan Taqwa dan salah satu dimensi Taqwa ialah berlatih Sabar”, kata Ustaz menyimpulkan isi tazkirahnya.

“Dan Sabar bukan dalam erti kata play Victim, tetapi melangkah setapak ke belakang untuk kita memilih langkah ke depan. Jadikanlah ibadah dan ujian yang kita tempuhi sepanjang Ramadhan ini sebagai proses untuk kita mempunyai kawalan diri yang baik”, sambung beliau lagi seraya mengakhiri bicaranya.

“Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa…sesungguhnya aku sedang berpuasa…” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Husaini Ibrahim @ www.husainibrahim.wordpress.com
53100 Gombak

p/s: Entri ini merupakan ringkasan Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh AF Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di Surau an-Naim, Seksyen 5, Wangsa Maju semalam (6 September 2008). Kuliah boleh dimuatturun di SINI atau sila ke Laman AUDIO.

  1. September 8, 2008 at 10:02 am

    Salam.

    Ya Akhi. Ringkasan yang baik. Sungguh! Seperti Ustaz pula yang tulis.

    Terima kasih.

  2. husainibrahim
    September 8, 2008 at 11:26 pm

    Salam’alayk, hamdan lillah. Ia kuliah Ustaz, meringkaskannya pun mengambil isi dan kalam Ustaz juga. Sama-sama.

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: