Isu Kartika: Temubual Akhbar Sinar Dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Soalan : Apakah pandangan Dr tentang isu Kartika, mengapakah masyarakat Islam sendiri berbeza pendapat tentang isu ini, tidakkah jelas meminum arak merupakan dosa besar dalam Islam?
Jawapan: Pertamanya kita hendaklah jelas bahawa tiada siapa pun di kalangan mereka yang benar-benar muslim boleh mempertikaikan tentang ‘haramnya’ meminum arak bagi seorang muslim. Ini perkara yang disepakati. Kita tidak boleh berbeza dalam hal ini. Namun apabila tiba kepada persoalan menghukum ‘peminum arak’, di sini mungkin akan ada sedikit pandangan dan perbincangan yang mungkin akan timbul perbezaan pendapat. Perbezaan itu mempunyai banyak faktor, antaranya faktor hukum itu sendiri di mana di kalangan sarjana Islam itu berbeza pendapat tentang statusnya. Kedua faktor persekitaran atau realiti semasa yang kita hadapi sekarang.
Soalan: Apakah yang Dr maksudkan dengan sarjana Islam berbeza pendapat tentang perlaksanaan hukum ke atas peminum arak?
Jawapan: Mereka berbeza pendapat, apakah hukuman sebat yang pernah disebutkan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w dan juga sejarah pelaksanaannya di zaman al-Khulafa al-Rasyidin dimasukkan dalam kategori hudud atau sekadar ta’zir (discretionary punishment). Read more…





